Pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telahpun mengeluarkan garis panduan bagi penggunaan singkatan ini. Beberapa cara penulisan singkatan dikenalpasti iaitu.
- Singkatan nama negara, ibu negara, negeri, ibu negeri, jabatan, institusi, organisasi, tahun dan nama-nama khas ditulis tanpa titik (.). Selain itu, huruf yang digunakan ialah huruf besar yang merupakan huruf pertama bagi setiap perkataan seperti AS (Amerika Syarikat), KL (Kuala Lumpur), PP (Pulau Pinang), KK (Kota Kinabalu), DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka), PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), TM (Tahun Masihi), SM (Sebelum Masihi) dan lain-lain lagi.
- Singkatan sapaan atau rujukan hormat, jawatan, dan pingat yang lebih daripada satu perkataan juga tidak menggunakan titik dan ditulis dengan huruf besar semuanya, contohnya YAB (Yang Amat Berhormat), YB (Yang Berhormat), YAM (Yang Amat Mulia), KSN (Ketua Setiausaha Negara), AMN (Ahli Mangku Negara) dan lain-lain lagi. Persoalan yang saya timbulkan di atas telah terjawab dengan panduan ini.
- Singkatan gelaran, jawatan, pangkat, dan sapaan yang terdiri daripada satu perkataan pula ditulis menggunakan titik di hujungnya, contohnya Dr. (Doktor), Prof. (Profesor), Kol. (Kolonel), En. (Encik), Tg. (Tengku) dan Tn. (Tuan).
- Singkatan gelaran, jawatan, pangkat dan sapaan yang terdiri lebih daripada satu perkataan dengan gabungan huruf besar dan huruf kecil perlu diletakkan titik di hujung singkatan, contohnya YABhg. (Yang Amat Berbahagia), YBhg. (Yang Berbahagia), YABrs. (Yang Amat Berusaha) dan YBrs. (Yang Berusaha).
- Singkatan umum yang terdiri daripada frasa juga ditulis menggunakan titik, dan tanda titik digunakan pada setiap kata yang disingkatkan, contohnya b.p. (bagi pihak), s.k. (salinan kepada), u.p. (untuk perhatian), a.n. (atas nama), m.s. (muka surat) dan t.p. (tanpa nama).
- Singkatan umum yang terdiri daripada tiga huruf atau lebih pula ditulis menggunakan satu titik di hujung, contohnya dsb. (dan sebagainya), dll. (dan lain-lain), jln. (jalan), hlm. (halaman) dan spt. (seperti).
- Singkatan khusus yang menjadi lambang atau simbol tidak menggunakan titik, contohnya m (meter), in (inci), cm (sentimeter), kg (kilogram) dan kb (kilobait).
- Singkatan bagi perkataan pinjaman daripada bahasa Arab yang popular ialah ALLAH SWT (ALLAH Subhanahuwataala), Muhammad SAW (Muhammad Sallallahualaihiwasallam) dan Ibrahim a.s. (Ibrahim alaihissalam)
Dipetik dari Sinar Harian Online